Monday 3 October 2011

Salah seorang idola aku dalam TUDM

TUDM pilihan keluarga Mohd. Shafinyi

IBARAT bapa borek anak rintik, begitulah realiti Mohd. Shafinyi Ismail apabila satu persatu anak-anaknya mengikut jejak langkah beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lebih membanggakan, kedua-dua anaknya menyertai cabang perkhidmatan yang sama dengannya iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pegawai Waran Udara I itu kini bertugas sebagai Pegawai Waran Markas Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor turut menyifatkan kerjaya di TUDM kini adalah darah daging yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupannya.
Oleh sebab itu tidak hairan ketika ditemui semasa menghadiri majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PJM) TUDM Siri 35/2005 yang diadakan di Institut Latihan TUDM di Ipoh, Perak baru-baru ini beliau antara orang yang kelihatan paling gembira.

Pada hari tersebut, beliau bukan sahaja melihat seorang lagi anak lelakinya berjaya diterima menjadi anggota dalam pasukan TUDM. Yang lebih membanggakan ialah anak ketiganya, Muhaimin, 18, terpilih menerima anugerah PJM Terbaik Keseluruhan.
Kejayaan Muhaimin menjadikan ahli keluarga Mohd. Shafinyi yang berkhidmat dalam pasukan TUDM bertambah lagi seorang selepas beliau sendiri dan anak sulungnya, iaitu Laskar Udara Kanan Mohairi, 24, yang kini bertugas di Institut Latihan TUDM.
Beliau berkata, adalah menjadi harapannya untuk melihat kesemua anak-anaknya menyertai TUDM. Mohd. Shafinyi yakin karier di TUDM mempunyai masa depan yang cerah.

“Saya menyertai TUDM pada September 1978 tetapi berhenti pada tahun 1999 kerana menerima tawaran berkhidmat sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan dengan sebuah syarikat swasta di Kerteh, Terengganu.
“Dua tahun berkhidmat di situ, saya akhirnya membuat keputusan berhenti dan memohon kembali menyertai TUDM dan kekal dalam pasukan keselamatan ini sehingga ke hari ini,” katanya.
Menurut Mohd. Shafinyi, pengalaman selama 21 tahun berkhidmat dengan TUDM sebelum beralih ke syarikat swasta membolehkan beliau menilai kelebihan berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.

Katanya, sikap prihatin TUDM terhadap kebajikan anggota dan semangat kerja berpasukan yang kental menyebabkan beliau tidak teragak-agak kembali menyertai pasukan keselamatan itu, malah menggalakkan anak-anaknya mengikut jejak langkahnya.
“Saya bangga apabila Mohairi dan adiknya, Muhaimin, diterima menyertai TUDM.
“Kalau boleh, saya mahu dua lagi adik mereka mengikut jejak langkah yang sama kecuali anak kedua saya kerana dia sakit dan tidak boleh bekerja,” kata bapa kepada lima orang anak ini.
Sementara itu, Muhaimin berkata, beliau terdorong menyertai TUDM kerana galakan bapanya, di samping pendedahan sejak kecil dalam bidang ketenteraan kerana keluarganya tinggal di kem tentera.
Minat mendalam itu, katanya, telah menyalakan semangatnya sepanjang latihan sehingga berjaya lulus cemerlang dan dianugerahkan PJM Terbaik Keseluruhan.
Menjadikan bapanya sebagai idola, Muhaimin bercita-cita mahu menjadi seorang pegawai TUDM suatu hari nanti dan berkhidmat penuh ikhlas demi negara tercinta.
Perajurit Muda Akademik Terbaik, Mohammad Naim Rahmat, 18, pula memberitahu, beliau bercita-cita mahu menjadi juruterbang TUDM pada masa depan kerana itulah yang mendorongnya memohon menyertai pasukan beruniform itu.

“Saya pernah memohon jawatan kadet pegawai dengan harapan boleh mencapai cita-cita menjadi juruterbang tetapi gagal. Namun, saya tidak berputus asa lalu memohon menjadi rekrut TUDM.
“Saya dimaklumkan jawatan itu juga boleh dijadikan platform meneruskan cita-cita menjadi juruterbang,” katanya yang memperoleh keputusan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Perajurit Muda Penembak Terbaik, Mohd. Faiz Ahmad, 18, pula berkata, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka menyertai TUDM kerana kerjaya itu menjamin masa depan di samping mampu menghindar remaja daripada terjebak dalam aktiviti negatif dan penagihan dadah.
Pada majlis yang disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Shahron Ibrahim itu, sebanyak 438 perajurit muda berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan di Institut Latihan TUDM.

p/s:

Last aku jumpa Pegawai Waran ni tahun lepas kat Kuantan, best bersembang dengan dia.  Sempoi!!!

No comments:

Post a Comment